Isu-isu Ekonomi

laporan sudit negara

Cukai-Petroleum-Eksport-2010

imagesCA8MS7TI

ipp-6

9179888fe99ea92c64c4f2ddf9db5426

774238_571920252836624_1040103558_o

CABARAN EKONOMI DEKAD BARU

MALAYSIA memasuki dekad baru bermula tahun Masihi 2010 dan tahun Hijrah 1431 dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ekoran tergugatnya sistem kewangan negara maju.

Keadaan ini diakibatkan oleh lemahnya sistem tadbir urus dan kawalan sektor bank pelaburan (investment bank) atau apa yang disebut sebagai ‘shadow banking’, khususnya di Amerika Syarikat (AS). Ia juga disebabkan oleh sifat tamak haloba (greed) dan kurang berhemah (imprudences) di kalangan pihak pengurusan.

Akibatnya ekonomi Malaysia dan juga negara-negara lain terjerumus dalam keadaan pertumbuhan negatif pada tahun 2009. Kewibawaan kita untuk mengurus ekonomi negara sekali lagi diduga, selepas pengalaman pahit tahun 1997/1998.
Dalam tempoh terdekat ini, ada tiga isu utama yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan ekonomi negara. Pertama, keperluan memantapkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kesan daripada kemerosotan ekonomi global dalam 2009.

Kedua, usaha memantapkan kedudukan kewangan awam atau ‘public finance’ yang mengalami defisit sejak 1998. Dan ketiga, hasrat untuk merombak beberapa dasar bagi meningkatkan daya saing negara serta membolehkan usaha mencapai model pertumbuhan berasaskan pendapatan (nilai tambah) yang tinggi.

Dalam isu pertama, kita boleh menimba pengalaman dari usaha mengatasi krisis ekonomi bagi tahun 1986 dan kegawatan tahun 1997/1998. Pada tahun 1986, negara telah terjejas oleh kejatuhan harga komoditi dan kedudukan kewangan awam yang lemah. Kerajaan telah mengambil tindakan liberalisasi dan deregulasi serta mengurangkan cukai dan mengawal perbelanjaan awam bagi memperbaiki iklim pelaburan swasta. Kesannya, ekonomi tumbuh dengan sangat pesat pada kadar 8-9 peratus setahun sepanjang tempoh 1988-1997.

Semasa kegawatan tahun 1997/1998 pula, atau apa yang selalu disebut sebagai ‘East Asian financial crisis’, akibat aliran modal jangka pendek tidak terkawal (unregulated) di rantau ini serta serangan ke atas mata wang serantau dan kegiatan ‘hedge fund’, tindakan kerajaan (menerusi MTEN) untuk mengawal modal (capital control) dan penetapan mata wang (pegging of the Ringgit) serta meningkatkan permintaan agregat menerusi perbelanjaan awam dan dasar kewangan (monetary) telah berjaya menstabilkan ekonomi negara. Dengan dibantu oleh kedudukan pasaran eksport yang menggalakkan pada masa itu, Malaysia telah berjaya keluar dari kegawatan ekonomi itu berasaskan kepada ‘formula’ sendiri, tanpa menggunakan preskripsi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Namun demikian, cabaran bagi mengatasi krisis ekonomi semasa (2009) menjadi lebih ketara. Kali ini, hampir seluruh ekonomi dunia, termasuk China dan India tergugat dan terperangkap dengan kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi AS dan negara-negara maju lain, seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Dari itu, sektor eksport kurang memainkan peranan untuk memantapkan proses pemulihan ekonomi negara. Dengan demikian, kesan Pakej Rangsangan Ekonomi sepenuhnya hanya berputar dalam sektor domestik. Pasaran domestik kita pula tidak sebesar pasaran dalaman China, India dan juga Indonesia. Oleh itu, ia tidak mampu memacu pertumbuhan positif bagi tahun 2009.

Kedua, kerajaan akan berdepan dengan cabaran mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil (revenue). Kemungkinan mengawal perbelanjaan terhad kerana beberapa jenis perbelanjaan operasi adalah wajib disediakan (locked-in expenses) seperti emolumen, gaji dan elaun, geran kepada negeri-negeri (per capitation grant) dan kerajaan tempatan, bayaran hutang awam serta beberapa subsidi yang sukar dirungkai akibat penyediaannya yang sebegitu lama sehingga menjadikannya seperti satu amalan fiskal biasa.

Usaha mengurangkan subsidi-subsidi ini perlu dibuat secara komprehensif dan dilaksanakan berperingkat-peringkat kerana penghapusannya akan menyebabkan satu kerumitan. Untuk membantu masyarakat, kerajaan telah menyediakan subsidi seperti bantuan buku sekolah, biasiswa, kos perubatan di hospital dan klinik awam yang sangat rendah, serta subsidi untuk bahan api (minyak petrol dan diesel). Manakala bagi bidang industri pula, kerajaan memberi subsidi tenaga untuk industri, baja untuk pengeluaran padi dan pengecualian dan potongan cukai (sistem galakan industri) untuk sektor pembuatan.

Fikirkan bagaimana sukarnya subsidi-subsidi ini boleh dirungkai dan dikurangkan dalam masa terdekat setelah ia menjadi elemen penting dalam perkiraan cara hidup rakyat dan sistem pengeluaran negara. Namun demikian usaha mengurangkan subsidi perlu diteruskan.

Dari perspektif hasil kerajaan pula, kesungguhan kerajaan untuk mengadakan ‘Goods and Service Tax’ (GST) perlu disokong. Memang sudah sampai masanya kita mengurangkan cukai berasaskan pendapatan tetapi bergerak maju ke arah cukai berasaskan penggunaan (consumption based tax).

Sebenarnya cadangan GST ini bukan baru. Ia pernah dicadangkan oleh Tun Daim Zainuddin dalam ucapan Belanjawan 1987 bagi pelaksanaan tahun 1989.

Cukai GST adalah lebih cekap berbanding dengan cukai jualan dan ia kurang mempunyai unsur ‘arbitrariness’ yang terdapat dalam cukai jualan. Unsur penting dalam formula GST adalah ia jangan dikenakan kepada barangan eksport serta barangan keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan. Skim ‘zero rating ‘ boleh dicadangkan bagi produk-produk ini.

Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kesan GST ke atas inflasi memang wujud tetapi ia hanya berlaku pada tahun pelaksanaan sahaja dan tidak selepas itu. Jika kesannya berlarutan selepas itu, ia bukan disebabkan GST tetapi kelemahan sistem pasaran sendiri akibat tiadanya undang-undang persaingan dan perdagangan adil (fair trade) di negara ini yang boleh membendung amalan perniagaan tidak beretika.

Satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan negara adalah meneruskan peringkat kedua dasar penswastaan yang meliputi inisiatif pembiayaan swasta bagi kegiatan awam yang pada ketika ini sudah boleh dilaksanakan. Bagi dasar ini, yang pentingnya segala kelemahan pelaksanaan yang lalu perlu diperbaiki.

Kawal selia yang mantap boleh menjaga kepentingan sosial, manakala pemilihan syarikat berasaskan tender terbuka mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan dan pembayar cukai.

Isu ketiga, meningkatkan daya saing dan melaksanakan pembangunan berteraskan ‘value added’ yang tinggi. Usaha ini memerlukan pengorbanan semua pihak untuk membantu melaksanakan proses transformasi sosial bagi melaksanakan beberapa perubahan dasar.

Perubahan dalam sistem subsidi, sistem kawalan harga, pembaikan sistem penyampaian (delivery system), liberalisasi, peningkatan produktiviti dan kemahiran modal insan serta memperkayakan harta intelek negara adalah antara perkara-perkara pokok dan utama yang perlu dilaksanakan secara serentak dan terancang. Satu pelan tindakan perlu disediakan bagi merencanakan apa yang perlu dibuat dan diukur bagi setiap pihak.

Kita juga perlu mencari model pertumbuhan baru yang mengimbangi antara pertumbuhan pendapatan pada kadar yang tinggi dan aspek pengagihan (distribution) yang bersesuaian dengan kedudukan semasa. Dasar pengagihan perlu diteruskan kerana ia merupakan dasar jangka panjang negara yang termaktub dalam Rukun Negara (bahagian pertama) dan dalam sejarah kesefahaman antara kaum utama negara ini. Yang pentingnya pelaksanaan dasar ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

Kita juga perlu merombak struktur industri perkhidmatan kepada industri yang membawa kepakaran dan kemahiran yang canggih dan tinggi (seperti R&D, designing) serta mempunyai value added yang lebih banyak untuk meningkat dan mempelbagaikan sumber KDNK serta mencanggihkan struktur guna tenaga negara dan menghasilkan pendapatan per kapita yang lebih tinggi.

Keadaan dan corak industri sedia ada kurang mewujudkan kekayaan harta intelek negara. Yang demikian akan melemahkan asas jangka panjang negara dalam bidang persaingan dan keupayaan mencapai Wawasan 2020.
Cabaran-cabaran ini tidak boleh diperlekehkan. Kita perlu berfikir dan mengambil tindakan yang jitu. Kita perlu mengurangkan ‘politicking’ dan sebaliknya membantu kerajaan merencanakan pembangunan negara ke arah kestabilan ekonomi, pembangunan mapan dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan generasi akan datang yang bakal berdepan dengan persaingan ketara di persada antarabangsa. Mereka memerlukan warisan daripada kita berbentuk infrastruktur, harta intelek, pengalaman, dan modal sosial untuk dimajukan seterusnya.

Untuk memastikan kejayaan mereka kelak, pembangunan modal insan sedia ada dan dasar pembangunan mapan (sustainability) serta asas-asas pertumbuhan ekonomi perlu diperkukuhkan lagi. Budaya persaingan yang sihat serta kerangka mental yang sentiasa ingin mencapai kecemerlangan perlu dipupuk dan disemarakkan di bangku sekolah lagi.
Memandangkan kita telah melangkah masuk ambang dekad baru dan tahun baru, Hijrah dan Masehi, Malaysia mungkin tiada jalan lain selain menangani isu-isu di atas dengan penuh tabah dan keyakinan. Masyarakat kita perlu bersedia untuk ‘berhijrah’ kepada pendekatan pembangunan yang baru bagi pembangunan sosial yang lebih makmur, berimbang dan mapan.

Oleh:TAN SRI DR. SULAIMAN MAHBOB
Berita disunting daripada sumber : Utusan Malaysia

IMPLIKASI CUKAI DAN SUBSIDI KEPADA NEGARA

Cukai dan subsidi sering menjadi topik utama dalam perbahasan mengenai ekonomi Malaysia. Kedua-duanya memberi kesan kepada sumber kewangan kerajaan dan rakyat secara langsung.

Semasa pembentangan Bajet 2010, kerajaan mengumumkan bahawa semua urus niaga penjualan hartanah dikenakan cukai lima peratus.

Namun, kerajaan sekali lagi mengambil langkah untuk menarik balik cukai tersebut bagi penjualan hartanah yang dimiliki melebihi lima tahun. Selain itu, semua hotel yang menjalankan proses pengubahsuaian akan mendapat potongan cukai sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Kedua-dua pengumuman ini bakal mengurangkan sumber pendapatan kerajaan.

Jadi aspek manakah yang lebih penting? Merancakkan sektor hartanah dan sektor pelancongan atau memperolehi sumber pendapatan yang lebih melalui cukai?

Inilah satu keputusan yang cukup penting bagi mana-mana kerajaan. Keputusannya mestilah tepat dan pada masa yang sama memberi kesejahteraan kepada rakyat. Jika kerajaan tidak mempunyai sumber yang mencukupi, bagaimana pula kerajaan ingin “memulangkan kembali” kepada rakyat?

Maka, sekali lagi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun 2011.

Tahun ini sahaja, dianggarkan kutipan cukai bagi kerajaan berkurangan sebanyak RM2.7 bilion. Apabila GST dilaksanakan nanti, kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih kurang RM1 bilion.

Bagi rakyat, cukai adalah satu perkara yang boleh mengurangkan sumber kewangan mereka. Tetapi rakyat juga perlu ingat, mereka bertanggungjawab untuk membayar cukai, jika tidak sesebuah kerajaan yang gah macam mana sekalipun tidak mampu untuk melaksanakan semua dasar dengan lancar jika “ongkosnya” tidak mencukupi.

Bayangkan juga terdapat individu yang tidak mahu membayar cukai. Mereka inilah golongan yang berasakan hasil yang mereka perolehi tidak perlu disumbangkan kembali kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Jadi, sejauh manakah jumlah cukai yang rakyat sanggup bayar?

Bagi subsidi, perkara sama juga berlaku. Kerajaan sudah memberi beberapa petanda bahawa subsidi minyak akan diberikan kepada golongan sasaran sahaja. Perkara ini amat menarik perhatian rakyat. Pertama, tujuannya agar hanya golongan sasaran sahaja yang memperolehi subsidi minyak.

Kedua, kerajaan tidak lagi menanggung beban kewangan yang besar termasuk untuk memberi subsidi kepada orang kaya dan juga warganegara asing. Namun, seperti biasa dua perkara yang amat dikhuatiri oleh rakyat. Adakah benar golongan sasaran sahaja akan memperolehi manfaatnya kerana dikhuatiri berlakunya ketirisan?

Ketiga, tidakkah harga barang akan meningkat seperti mana yang pernah berlaku pada tahun lepas, apabila kerajaan meningkatkan harga minyak pada tahap tertinggi dalam sejarah. Inilah satu lagi dilema yang mana kerajaan perlu membuat keputusan dengan tepat bagi memastikan segala perancangan dan strategi yang benar-benar berkesan dapat dilaksanakan.

Topik subsidi bukan hanya terletak pada subsidi minyak sahaja, subsidi gula juga diperbincangkan sehingga kerajaan sekali lagi mengumumkan bahawa subsidi gula tidak akan ditarik buat masa ini.
Bermakna, sumber kewangan kerajaan akan digunakan untuk membayar subsidi tersebut. Akibatnya, projek-projek lain untuk rakyat akan terkena tempiasnya.

Bagi penulis, tidak kiralah cukai dikenakan dan subsidi ditarik balik, yang pasti, kerajaan perlu berusaha dengan lebih gigih untuk merealisasikan tiga perkara ini.

Pertama, usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat pada tahap berpendapatan tinggi merupakan satu inisiatif yang mengutamakan rakyat. Jika rakyat mempunyai pendapatan per kapita cukup tinggi, maka rakyat tidak keberatan untuk membayar cukai dan subsidi yang ditarik.

Tetapi pendapatan sahaja tidak mencukupi jika perkara kedua, iaitu harga barangan berada pada tahap yang sentiasa meningkat. Ambil sahaja contoh mudah harga barangan sebelum harga minyak naik pada tahap tertinggi tahun lepas berbanding dengan masa sekarang.

Ini bermaksud, harga minyak amat memainkan peranan penting dalam menentukan harga barangan dan akhirnya boleh memberi kesan kepada sumber kewangan rakyat. Maka, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Anti Mengaut Keuntungan Berlebihan merupakan satu lagi usaha yang bakal mengekang harga barangan daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Akta ini diperkenalkan seiring dengan GST. Namun, apa yang rakyat inginkan sudah tentu dari segi penguatkuasaan akta ini dengan cekap dan berkesan apabila sampai masanya.

Apa-apa pun dasar dan pengumuman mengenai cukai dan subsidi mestilah dilaksanakan secara lembut dan berperingkat-peringkat agar rakyat boleh menerimanya. Jika terlalu mengejut dan rakyat sendiri tidak diberi peluang untuk memberi maklum balas, rakyat pastinya berasakan tindakan itu tidak wajar dilaksanakan.

Satu cara untuk mendapatkan maklum balas rakyat ialah seperti mengadakan Hari terbuka Pelan Transformasi Kerajaan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diadakan baru-baru ini. Satu usaha yang mengembalikan “kuasa” rakyat untuk memberi maklum balas terhadap sebarang cadangan dan tindakan kerajaan. Perkara ini perlu diteruskan secara konsisten.

Perkara ketiga berkaitan dengan mata wang Malaysia. Bagi menjadikan Malaysia negara maju, mata wang kita juga sewajarnya kukuh dan bernilai tinggi berbanding mata wang negara lain.

Ketiga-tiga perkara inilah yang sewajarnya diberi perhatian segera untuk memastikan taraf hidup rakyat berada pada tahap negara maju. Ketiga-tiga ini berkait langsung dengan kuasa beli rakyat.

Jika kuasa beli rakyat Malaysia cukup tinggi, cukai dan subsidi tidaklah begitu menggusarkan kerajaan mahupun rakyat sebagaimana yang terjadi pada masa kini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia
Sumber:

Oleh: Rohami Shafie

Berita disunting daripada sumber : Utusan Malaysia

APAKAH EKONOMI MAKRO DAN EKONOMI MIKRO?

Ekonomi merupakan satu istilah yang luas, meliputi berbagai-bagai unsur yang mempengaruhi situasi dan tingkat kesejahteraan individu, masyarakat, negara dan dunia keseluruhannya.

Terdapat tiga bidang utama yang perlu difahami oleh kita tentang ekonomi iaitu ekonomi makro, ekonomi mikro dan ekonomi antarabangsa. Ekonomi makro berkaitan dengan tingkat keseluruhan kegiatan ekonomi negara termasuk kajian mengenai dasar ekonomi negara, inflasi dan pengangguran. Ekonomi mikro pula membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kecekapan pengeluaran, agihan pendapatan dan keuntungan syarikat. Manakala ekonomi antarabangsa membicarakan perdagangan di antara sesebuah negara dengan negara-negara lain serta hal-hal berkaitan pembayaran dan kadar pertukaran mata wang asing.

Sumber Maklumat: Kefahaman Ekonomi, Mustapha Mohamed

SISTEM-SISTEM EKONOMI

Sistem Kapitalis

Sistem kapitalis merupakan satu sistem ekonomi yang wujud sejak kurun ke-19. Di antara ciri-ciri terpenting sistem ini ialah ia mengamalkan dasar pasaran bebas dan pemilikan harta persendirian. Dalam sistem ini, manusia bebas mentadbir dan menggunakan sumber-sumber yang ada tanpa banyak campur tangan daripada kerajaan. Kerajaan tidak mengawal sumber dan tidak juga menetapkan upah dan harga. Ini semua ditentukan oleh permintaan dan penawarnya. Di bawah sistem ini , individu dan pihak lain termasuk syarikat boleh memiliki harta, menjual dan memindahkannya dengan bebas. Namun begitu, untuk menjamin bahawa sistem ini berjalan lancar dan tidak mempunyai sebarang unsur penindasan dan penipuan di antara pihak pembekal dan pengguna, kerajaan dalam keadaan-keadaan tertentu boleh memainkan peranan dalam pasaran. Biasanya penglibatan ini terhad kepada pengenalan serta pelaksanaan peraturan dan undang-undang bagi menjamin kegiatan ekonomi dapat berjalan dengan teratur. Amerika syarikat adalah di antara contoh negara yang mengamalkan sistem ini.

Sistem Ekonomi Sosialis

Sistem ini merupakan satu sistem yang mengenakan beberapa sekatan ke atas kuasa pasaran dan pemilikan harta persendirian. Dalam sistem ini, kerajaan mengawal dan memiliki sumber-sumber keperluan utama seperti bekalan elektrik, air, telekomunikasi, tenaga, industri-industri berat dan sumber-sumber pertanian. Manakala pihak swasta atau persendirian pula hanya di benar mengendalikan dan memiliki perniagaan-perniagaan kecil dan tidak penting. Dengan itu, kerajaan menguasai pasaran dan menjadi peserta utama yang menetapkan upah harga dalam pasaran. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini adalah negara-negara Eropah Timur, Myanmar, Laos dan beberapa negara di Afrika.

Sistem Ekonomi Komunis

Sistem ini tidak mengiktiraf pemilikan harta persendirian dan mengetepikan langsung dasar pasaran bebas. Segala pentadbiran, pemindahan dan pengagihan sumber semuanya adalah diuruskan oleh kerajaan. Rakyat dan swasta tidak dibenarkan langsung menguasai sumber-sumber negara. Sebaliknya sumber-sumber negara diagihkan kepada rakyat mengikut kehendak kerajaan. Sistem ini telah diamalkan oleh bekas Kesatuan Soviet, Republik Rakyat China, Cuba dan sebahagian negara-negara Afrika. Sistem ini telah pun runtuh di beberapa buah negara asta kehendak rakyatnya sendiri.

Sistem Ekonomi Campuran

Sistem ekonomi campuran merupakan satu sistem ekonomi hasil daripada campuran dia atara sistem kapitalis dan sistem sosialis. Melalui sistem ini, kerajaan dan pihak persendirian atau swasta bekerjasama untuk membentuk satu pasaran yang lebih adil. Dasar-dasar kerajaan digubal secara menyeluruh dan merangkumi semua pihak termasuk pihak swasta atau persendirian. Kerajaan sebagai pentadbir walau bagaimanapun boleh campur tangan dalam pasaran serta urusan ekonomi dan kewangan apabila keadaan memerlukan.

Hak milik kerajaan dan persendirian akan digembleng untuk kebaikan rakyat. Walaupun kerajaan menjadi pemilik kepada badan-badan utiliti tertentu tertentu namun pihak swasta atau persendirian juga dibenarkan terlibat dalam kegiatan-kegiatan perniagaan yang besar serta menjadi pemilik kepada industri-industri gergasi yang penting di negara ini bahkan berbagai-bagai insentif diberikan untuk menggerakkan kegiatan sektor swasta. Malaysia adalah di antara negara yang mengamalkan sistem ekonomi campuran.

Ekonomi Islam

Kegiatan ekonomi Islam merupakan satu kewajipan yang penting di dalam Islam. Tuntutan terhadap ekonomi di dalam Islam adalah penting kerana Islam satu cara hidup yang menyatupadukan kehendak-kehendak kebendaan dan rohaniah manusia.

Asas-asas ekonomi Islam terkandung di dalam Al-Quran dan juga sunah Rasulullah s.a.w. Daripada sumber-sumber ini, ulamak-ulamak dan ahli-ahli ekonomi Islam telah mengupas beberapa prinsip sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip utama dirumuskan seperti berikut:
1. Konsep Pemilik Di benar Dan Khalifah
2. Integrasi Antara Nilai-Nilai Akhlak Dan Kegiatan Ekonomi
3. Sikap Positif Terhadap Aktiviti Dan Pembangunan Ekonomi
4. Agihan Semula Kekayaan
5. Perkongsian Untung (Dan Rugi)

Sumber Maklumat: Kefahaman Ekonomi, Mustapha Mohamed

2 comments on “Isu-isu Ekonomi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s